Alhamdulillah, bersyukur ke hadarat Ilahi kerana dengan
limpah dan kurnia-Nya, saya dan rakan-rakan telah berjaya menyempurnakan
lawatan ilmiah kami iaitu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Lawatan ini disertai oleh 35 orang guru
pelatih daripada unit PISMP Matematik Januari 2011 dan PISMP Sains Januari
2011. Perjalanan lawatan ilmiah kami telah bermula pada pagi 28 Januari dan
berakhir pada petang 29 Januari 2013. Daripada lawatan ilmiah ini, pelbagai
perkara yang telah saya peroleh.
Melalui
lawatan ini, saya dapat melihat cara pengurusan stor Pendidikan Jasmani di
UPSI. Meskipun begitu, pengurusan stor Pendidikan Jasmani di UPSI agak
kelam-kabut ketika itu kerana stor penyimpanan barang-barang PJ sedang diubah
suai ke arah yang lebih baik. Dengan melawat stor Pendidikan Jasmani di kampus
lain, kita dapat membuat perbandingan dan mengambil perkara baik untuk diaplikasikan
dalam pengurusan stor di kampus sendiri.
Saya juga merasa sangat kagum dengan
kemudahan dan infrastruktur yang disediakan oleh pihak UPSI. Meskipun begitu,
saya tetap bersyukur dengan segala kemudahan dan infrastruktur sukan yang telah
disediakan di IPG Kampus Perempuan Melayu yang merangkumi stadium, trek, gimnasium
dan stor penyimpanan alatan-alatan sukan.
Selain itu, pihak sukan UPSI turut menyediakan kemudahan sukan sama ada sukan indoor ataupun outdoor. Di
UPSI juga terdapat bilik seperti bilik persegaran dan bilik bebanan yang
pastinya dibina atas tujuan-tujuan tertentu.
Tambahan pula, penyertaan pelajar-pelajar
UPSI dalam bidang sukan juga sangat menggalakkan. Maka, tidak dapat dinafikan
lagi apabila UPSI dijadikan sebagai salah satu tempat rujukan utama bagi bidang
sukan. Prestasi atlet-atlet UPSI dalam sukan antara universiti di seluruh
Malaysia juga amat membanggakan. Sepatutnya, guru pelatih IPG boleh mengambil
ibrah daripada penyertaan mahasiswa dan mahasiswi UPSI yang amat menakjubkan
dalam bidang sukan ini. Walaupun tidak semua guru pelatih meminati bidang sukan
ini, namun kita perlu melatih diri kita untuk bersukan sebagai salah satu cara
untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila tubuh badan kita sihat, insha Allah
akal fikiran kita juga akan sihat. Bak kata pepatah,“Minda yang cerdas ada pada
tubuh badan yang cergas.” Lantaran itu, kita pasti akan lebih fokus ketika sesi
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Di
samping itu, saya juga dapat mengetahui organisasi Pusat Sukan di UPSI ini yang
merangkumi beberapa orang tenaga pengajar sukan. Dana-dana yang diperoleh untuk
menjamin kelangsungan sukan di UPSI juga turut dinyatakan dalam taklimat
ringkas yang disampaikan oleh Pengurus Pusat Sukan UPSI. Dana yang disumbangkan
agak banyak. Malah, atlet-atlet sukan di UPSI juga diberi pelbagai kelebihan
dan insentif apabila mereka melibatkan diri dalam bidang ini. Maka, tidak
hairanlah jika penyertaan mahasiswa dan mahasiswi dalam sukan amat
menggalakkan.
Setelah taklimat ringkas mengenai pengurusan
sukan, kami dibawa ke Muzium UPSI yang menyimpan sejarah dan pelbagai khazanah
berharga. Muzium tersebut bersaiz sederhana besar dan pameran yang paling
menarik minat saya ialah pameran gambar portrait, fotografi dan grafik yang
merupakan hasil kreatif pelajar UPSI sendiri. Lukisan yang dipamerkan sangat
cantik dan tidak puas mata memandang. Hal ini menunjukkan bahawa mahasiswa dan
mahasiswi UPSI bukan sahaja berbakat dalam bidang sukan dan pendidikan, malah
mereka juga mempunyai kelebihan dalam dunia seni. Sebagai seorang guru, kami
tidak seharusnya mahir dalam sesuatu bidang sahaja. Misalnya, saya sebagai guru
Matematik juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris kerana saya menggunakan kedua-dua bahasa ini sebagai perantaraan untuk
menyampaikan isi pengajaran kepada murid. Tambahan pula, saya juga perlu tahu
tentang seni melukis. Hal ini kerana saya perlu mengajar anak didik saya cara
untuk melukis bentuk-bentuk dua dimensi dan tiga dimensi. Jika saya mahir dalam
seni muzik, saya boleh menerapkannya ketika mengajar anak murid tentang sifir
sambil bernyanyi.
Potret Najwa Latif |
Pada hari kedua, kami pergi melawat BAM yang mana pusat badminton ini merupakan pusat latihan bagi atlet badminton Negara seperti Lee Chong Wei dan lain-lain lagi. Setibanya kami di BAM tersebut, kami berpeluang melihat atlet-atlet negara sedang berlatih bermain badminton dengan bersungguh-sungguh. Nasib kami agak kurang baik kerana tidak berpeluang untuk bertemu dengan pemain hebat badminton iaitu Lee Chong Wei. Meskipun begitu, hal ini tidak sesekali mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi lawatan ilmiah tersebut.
Lawatan ilmiah di BAM dimulakan dengan
taklimat yang amat padat dan disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Mohd Idris yang juga merupakan seorang Pengurus Pentadbiran di situ.
Jika dilihat pada semangat yang tidak pernah luntur dan kecintaan yang amat
sangat dalam kerjaya beliau sekarang, kita pasti tidak menyangka bahawa umur Tuan Haji Ahmad Mohd
Idris sudah pun mencecah 72 tahun. Hal ini memberi
kesedaran kepada saya bahawa saya perlu mencintai kerjaya saya kelak. Apabila
kita cinta akan sesuatu, kita pasti sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga
untuknya. Apatah lagi kerjaya yang bakal saya ceburi adalah suatu pekerjaan
yang mulia yang mana saya akan diamanahkan untuk mendidik anak-anak murid.
Tugas mendidik adalah sesuatu yang sukar dan tidak boleh dipandang enteng. Baik
didikannya, maka baiklah hasilnya. Namun begitu, tugas mendidik ini tidak
seharusnya digalas oleh para guru semata-mata. Ibu bapa khususnya dan
masyarakat amnya perlu memainkan peranan penting bagi mencorak generasi muda
yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.
Tambahan pula, beliau sangat suka berkongsi
pengalaman dan pengetahuannya. Begitu juga seorang guru yang sifatnya
menyebarkan, menyampaikan dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Jika
seorang guru tiada sifat-sifat ini, apakah mungkin isi pengajaran boleh
disampaikan kepada anak murid dengan baik? Teringat saya kepada nabi tercinta,
Rasulullah SAW, yang juga digelar sebagai mu’allim
atau guru. Antara sifat wajib yang dimiliki baginda adalah menyebarkan. Betapa
mulianya seorang guru kerana kita sedang menyambung perjuangan baginda.
Mendidik dan menyebarkan ilmu tanpa jemu. Orang kata guru ini ibarat lilin,
yang membakar dirinya bagi menerangi orang lain. Kehadiran Rasulullah di muka
bumi ini pula umpama cahaya, yang menerangi ke seluruh alam.
Di samping itu, segala perkara tentang
badminton telah beliau kongsikan semasa taklimat tersebut. Taklimat tersebut
juga disampaikan oleh dua orang pegawai BAM yang lain. Daripada taklimat ini,
saya memperoleh banyak pengetahuan dan sejarah mengenai BAM. Selain itu, saya
juga mendapat pengajaran bahawa kita perlu mengetahui sedikit sebanyak tentang
sesuatu tempat yang ingin kita lawati. Misalnya, kita ingin ke Majlis Sukan
Negara (MSN) tetapi kita tidak tahu apa itu MSN. Oleh itu, seeloknya jika kita
melayari portal rasmi MSN supaya kita sudah mempunyai info tentangnya.
Sepanjang lawatan ilmiah ke UPSI dan BAM,
begitu banyak ibrah atau pengajaran yang boleh kita lihat dan peroleh. Kata
orang, banyak berjalan, luas pemandangan dan semakin banyak pengajaran yang
kita akan dapat. Hal ini kerana Allah juga ciptakan langit dan bumi untuk
dijadikan pengajaran kepada orang-orang mempunyai akal untuk berfikir.
Wallahu’alam.